Buku Tadzkirotul Auliya – 62 Orang Wali Allah ( Warisan Para Auliya )

tadzkirotul auliya1

Terjemahan kitab karangan Syeikh Fariduddin ‘Attar yang terkenal dengan Mantiq at-Tayr ini, memberikan satu manfaat saja kepada saya dengan segala kemampuan mantiq dan jiwa yang sangat sederhana yang saya miliki; iaitu, menundukkan kalbu supaya meletakkan auliya-u-LLah pada martabat dan harkat yang tinggi tanpa syak wasangka terhadap kehidupan mereka meskipun pengabdian mereka menjangkaui rasional yang sedikit-sebanyak dilebarkan oleh modenis.

Pada penghujung kitab ini, penerbitnya mengingatkan pembaca supaya tidak terburu-buru menghukum sesuatu yang tidak kita fahami di sebalik keyakinan kita terhadap kemampuan ilmu yang kita punyai, sebaliknya menyuguh persoalan yang timbul terhadap peribadi, perwatakan dan pengabdian 62 wali Allah itu kepada ahlinya, iaitu ulama dan ilmuwan yang menguasai ranah tasawuf.

Dari sirah Imam Hassan al-Basri dan Rabi’atul-Adawiyah al-Basriyyah yang selalu kita baca hinggalah kisah al-Hallaj dan as-Syibli yang terkenal dengan ‘Ana al-Haq’ yang berakhir pada dua hukum berbeza, iaitu wali pertama dihukum bunuh dan jenazahnya dibakar, lalu abu ditabur di Sungai Furat, manakala wali kedua dimaafkan kerana tanggapan umum meletakkan beliau sebagai kurang waras – memang karya ‘Attar ini sangat sarat dengan kehebatan auliya-u-LLah itu bukan saja dalam karamah mereka, bahkan pengabdian kepada Kekasih mereka.

Perjalanan kerohanian yang dibentangkan oleh Attar bukanlah perjalanan singkat ibadat orang awam atau perjalanan ilmu mereka yang menyangka memiliki keilmuan tinggi selepas 10 tahun menghimpunkan tiga sijil daripada sarjana muda, sarjana dan doktor falsafah, sebaliknya ia meliputi beberapa dekad dengan sebahagiannya memerlukan 10 tahun untuk beralih ke tingkat yang seterusnya.

Dalam keadaan umat Islam masa kini yang hatinya semakin keras untuk menerima alam ghaib dan memeluk dengan erat alam materialis – mereka bersifat defensif dengan menimbulkan syak wasangka dan seringkali pula memperolok-olokkan sesuatu yang mereka jahilkan hanya dalam tempoh lima minit dan 10 saat; iaitu lima minit untuk menonton potongan video dalam Youtube (atau beberapa lama yang diperlukan) dan dalam tempoh 10 saat kemudian pula untuk menulis dan memuat naik status yang jahil dan lancang terhadap sesuatu yang tidak mereka fahami.

Buku ini secebis balikan kepada segenap tindakan dan kejahilan itu. Ia cuba menjinakkan keghairahan kita untuk menjadi hakim dan juri terhadap ulama, ilmuwan dan ahliLLah yang segenap kehidupan mereka menjadi kekasih Allah.

Andai saja mereka berfikir begini: katakan saja para wali ini, tidak benar; segala tulisan dan pandangan kita yang menimbulkan syak wasangka dan memperolok-olokkan itu mungkin saja sudah terjebak dalam dosa ghibah. Namun, bagaimana kalau para wali itu benar-benar kekasih Allah, apakah kedudukan kita pada pandangan Allah sebagai makhluk-Nya yang memperolok-olokkan kekasih-Nya?

Dengan berfikir sebendul itupun, kita pasti memelihara lidah dan tangan daripada menimbulkan syak wasangka, jauh sekali memperolok-olokkan auliya-u-LLah itu. Apatah lagi dengan sedikit keilmuan seperti membaca kitab ‘Attar yang diterjemahkan oleh Abdul Majid Haji Khatib ini, sudah tentulah kita lebih berhati-hati, sebelum membuka hati kita kepada kebenaran yang sumbernya seperti yang ditegaskan oleh ulama silam berpunca daripada tiga, iaitu khabar yang benar, akal dan pancaindera – manakala khabar yang benar tidak terhad kepada al-Quran dan as-Sunnah, bahkan daripada ulama dan ilmuwan silam yang sudah dibuktikan kebenaran mereka dalam perjalanan sejarah yang panjang.

Sumber : Nazmi Yaakub‘s review . goodreads.com

Tags: tadzkirotul auliya, kitab tadzkirotul auliya, terjemah tadzkirotul auliya, kisah 62 wali allah, warisan para auliya

 

Tinggalkan Balasan

%d blogger menyukai ini: